Saturday, April 11, 2009

Khairy: Terima Kabinet baru dengan hati terbuka



Khairy Jamaluddin mahu ahli-ahli pergerakan itu menerima barisan Kabinet baru diumumkan semalam, yang tidak menyenaraikan beliau selaku Ketua Pemuda Umno, dengan “hati terbuka”.

“Kepada ahli-ahli pergerakan Pemuda Umno, terimalah pengumuman ini dengan hati yang terbuka dan terimalah juga cabaran yang diberi kepada kita untuk memenangi dan mengembalikan sokongan pengundi muda dengan penuh iltizam dan kesungguhan.

“Kita semua hendaklah menyokong kerajaan dalam usahanya untuk mendekati rakyat dan menyelesaikan permasalahan mereka dengan berkesan dan menyeluruh,” kata beliau dalam blognya semalam - pada hari barisan Kabinet diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Khairy tidak disenaraikan dalam Kabinet baru ini walaupun telah dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno yang baru dua minggu lalu.

Bagaimanapun Naib Ketuanya, Datuk Razali Ibrahim dilantik sebagai timbalan menteri.

Turut dilantik menyertai Kabinet ialah Datuk Mukhriz Mahathir yang tewas kepada Khairy dalam pemilihan lalu.

Ketua Wanita dan Ketua Puteri Umno juga diberikan tanggungjawab dalam Kabinet baru.

Jelas Khairy, beliau telah dipanggil dan dimaklumkan oleh Najib kelmarin bahawa mahu beliau menumpukan perhatian mengukuhkan Pemuda Umno.

“Berdasarkan kepada kemerosotan sokongan pengundi muda kepada Barisan Nasional, kami berdua sepakat dan bersetuju bahawa tanggung jawab dan gerak kerja memenangi pengundi muda adalah satu komitmen sepenuh masa yang menuntut gandingan tenaga dan dedikasi untuk kerja-kerja parti tanpa sebarang tanggungjawab dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.

“Kepada Datuk Seri Najib, saya ucapkan terima kasih di atas amanah yang diberi dan berikrar untuk memberi sokongan tak berbelah bahagi kepada kepimpinan beliau dan saya juga berjanji untuk bekerja keras untuk memperkasa dan mengukuhkan Pemuda Umno,” katanya.

Thursday, March 19, 2009

PENJELASAN MENGENAI KEPUTUSAN LEMBAGA DISIPLIN UMNO - KJ




Saya memanjatkan syukur terhadap Allah SWT kerana saya masih boleh meneruskan perjuangan saya dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, walaupun telah diputuskan bersalah dan diberi amaran oleh Lembaga Disiplin UMNO di bawah Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO, iaitu peruntukkan mengenai Anggapan Kebersalahan Pihak Ketiga.

Di bawah Perlembagaan UMNO, mana-mana ahli yang melanggar peruntukan Perlembagaan atau Tataetika Ahli UMNO boleh dikenakan pelbagai jenis hukuman, antara lainnya, diberi amaran; digantung hak-hak dalam parti; dilarang daripada bertanding bagi mana-mana jawatan dalam parti ataupun sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri atau Umum bagi mana-mana tempoh yang ditentukan oleh Majlis Tertinggi atau dipecat daripada parti.


Seperti yang telah saya nyatakan kepada Lembaga Disiplin, saya tiada kena-mengena dan tiada pengetahuan langsung mengenai perbuatan yang didakwa dilakukan oleh mereka yang dikatakan menjadi ejen saya. Pihak Lembaga Disiplin juga, dalam sidang akhbar semalam, mengakui tiada perkaitan jelas antara kesalahan yang dilakukan oleh mereka dengan saya. Lembaga Disiplin juga mendapati sukar untuk mengaitkan ejen tersebut dengan saya. Kaitan kesalahan mereka yang didakwa menjadi ejen saya dengan saya juga adalah amat lemah.


Atas sebab-sebab seperti yang telah dinyatakan oleh Lembaga Disiplin inilah, saya masih lagi dibenarkan untuk bertanding dalam pemilihan UMNO kali ini. Namun begitu, saya tetap dengan kenyataan saya kepada Lembaga Disiplin – bahawa saya sememangnya tidak bersalah. Saya juga berharap agar apa yang berlaku ini bukanlah didorong oleh apa-apa agenda politik mana-mana pihak berkepentingan untuk memburukkan nama saya atau menggagalkan perjalanan karier politik saya, terutamanya setelah saya mengumumkan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

My Blog List

About This Blog

  © Blogger template 'Penthouse' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP