Saturday, April 11, 2009

Khairy: Terima Kabinet baru dengan hati terbuka



Khairy Jamaluddin mahu ahli-ahli pergerakan itu menerima barisan Kabinet baru diumumkan semalam, yang tidak menyenaraikan beliau selaku Ketua Pemuda Umno, dengan “hati terbuka”.

“Kepada ahli-ahli pergerakan Pemuda Umno, terimalah pengumuman ini dengan hati yang terbuka dan terimalah juga cabaran yang diberi kepada kita untuk memenangi dan mengembalikan sokongan pengundi muda dengan penuh iltizam dan kesungguhan.

“Kita semua hendaklah menyokong kerajaan dalam usahanya untuk mendekati rakyat dan menyelesaikan permasalahan mereka dengan berkesan dan menyeluruh,” kata beliau dalam blognya semalam - pada hari barisan Kabinet diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Khairy tidak disenaraikan dalam Kabinet baru ini walaupun telah dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno yang baru dua minggu lalu.

Bagaimanapun Naib Ketuanya, Datuk Razali Ibrahim dilantik sebagai timbalan menteri.

Turut dilantik menyertai Kabinet ialah Datuk Mukhriz Mahathir yang tewas kepada Khairy dalam pemilihan lalu.

Ketua Wanita dan Ketua Puteri Umno juga diberikan tanggungjawab dalam Kabinet baru.

Jelas Khairy, beliau telah dipanggil dan dimaklumkan oleh Najib kelmarin bahawa mahu beliau menumpukan perhatian mengukuhkan Pemuda Umno.

“Berdasarkan kepada kemerosotan sokongan pengundi muda kepada Barisan Nasional, kami berdua sepakat dan bersetuju bahawa tanggung jawab dan gerak kerja memenangi pengundi muda adalah satu komitmen sepenuh masa yang menuntut gandingan tenaga dan dedikasi untuk kerja-kerja parti tanpa sebarang tanggungjawab dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.

“Kepada Datuk Seri Najib, saya ucapkan terima kasih di atas amanah yang diberi dan berikrar untuk memberi sokongan tak berbelah bahagi kepada kepimpinan beliau dan saya juga berjanji untuk bekerja keras untuk memperkasa dan mengukuhkan Pemuda Umno,” katanya.

Thursday, March 19, 2009

PENJELASAN MENGENAI KEPUTUSAN LEMBAGA DISIPLIN UMNO - KJ




Saya memanjatkan syukur terhadap Allah SWT kerana saya masih boleh meneruskan perjuangan saya dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, walaupun telah diputuskan bersalah dan diberi amaran oleh Lembaga Disiplin UMNO di bawah Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO, iaitu peruntukkan mengenai Anggapan Kebersalahan Pihak Ketiga.

Di bawah Perlembagaan UMNO, mana-mana ahli yang melanggar peruntukan Perlembagaan atau Tataetika Ahli UMNO boleh dikenakan pelbagai jenis hukuman, antara lainnya, diberi amaran; digantung hak-hak dalam parti; dilarang daripada bertanding bagi mana-mana jawatan dalam parti ataupun sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri atau Umum bagi mana-mana tempoh yang ditentukan oleh Majlis Tertinggi atau dipecat daripada parti.


Seperti yang telah saya nyatakan kepada Lembaga Disiplin, saya tiada kena-mengena dan tiada pengetahuan langsung mengenai perbuatan yang didakwa dilakukan oleh mereka yang dikatakan menjadi ejen saya. Pihak Lembaga Disiplin juga, dalam sidang akhbar semalam, mengakui tiada perkaitan jelas antara kesalahan yang dilakukan oleh mereka dengan saya. Lembaga Disiplin juga mendapati sukar untuk mengaitkan ejen tersebut dengan saya. Kaitan kesalahan mereka yang didakwa menjadi ejen saya dengan saya juga adalah amat lemah.


Atas sebab-sebab seperti yang telah dinyatakan oleh Lembaga Disiplin inilah, saya masih lagi dibenarkan untuk bertanding dalam pemilihan UMNO kali ini. Namun begitu, saya tetap dengan kenyataan saya kepada Lembaga Disiplin – bahawa saya sememangnya tidak bersalah. Saya juga berharap agar apa yang berlaku ini bukanlah didorong oleh apa-apa agenda politik mana-mana pihak berkepentingan untuk memburukkan nama saya atau menggagalkan perjalanan karier politik saya, terutamanya setelah saya mengumumkan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Wednesday, March 18, 2009

SAYA TIDAK BERSALAH - KJ


Calon Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata beliau menghormati keputusan Lembaga Disiplin Umno walaupun "saya tidak bersalah"

Dalam reaksinya, ahli Parlimen Rembau itu berkata, apa yang penting, walaupun didapati bersalah, beliau hanya diberi amaran dan dibenarkan bertanding.

"Saya masih boleh bertanding (jawatan ketua Pemuda Umno)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Bagaimanapun, Khairy mendakwa terdapat agenda untuk menghalangnya daripada bertanding jawatan ketua Pemuda Umno hujung bulan ini.

"Saya tahu terdapat agenda tersebut, tetapi saya tidak tahu siapa yang bertanggunggung dan mengapa mereka berbuat demikian.

"Saya tetap tidak bersalah," tambahnya.

Menurutnya, beliau telah memberi penjelasan kepada lembaga disiplin.
Bagaimanapun, katanya, beliau menghormati keputusan yang dibuat oleh lembaga tersebut.

Monday, March 9, 2009

KHAIRY : LEMBAGA DISIPLIN UMNO PUSAT RUJUKAN UTAMA

MUKHRIZ Mahathir (kiri) bersama Khairy Jamaluddin dan Mohd. Khir Toyo berpegang tangan pada majlis memperkenalkan calon Ketua Pemuda UMNO di Pulau Pinang (sumber: Utusan Malaysia)


Posting kali ini, lebih kepada sokongan Orena terhadap ulasan Khairy berhubung SPRM mau menyiasat, alah? pasal kes rasuah2 kunun dalam parti. Bagi Orena SPRM sibuk jaga politik wang dalam UMNO mcm ndak da keja lain. P siasat lah benda2 yang lagi penting dari sibuk dok ikut ahli poliltik berkempen buat apa? ui emosi pulak Orena ni dengan tidak semena2.



Bila Baca Utusan Online Orena lebih berminat dengan ulasan Khairy, nak tau sila baca sendiri di bawah ini, berita penuh sila lah buka sendiri utusan online he he:



..."Lembaga Disiplin UMNO seharusnya diberi peranan sebagai pusat rujukan pertama apabila berlakunya sebarang aduan berkaitan pemilihan parti"



“Walaubagaimanapun kita berterima kasih kepada pihak SPRM kerana prihatin terhadap pemilihan UMNO, tetapi saya percaya Lembaga Disiplin UMNO adalah tempat rujukan utama untuk kes sebegini,” kata Khairy.



Ini ulasan baru ngam oh..UMNO ada Lembaga Disiplin sendiri yang lebih mantap bagi Orena tak yah lah SPRM mau menyibuk2 mau siasat semua orang. Jadinya pemimpin berkempen mcm dalam ketakutan smua lah salah. Makan pun salah, kalau tak makan buli mati oh!



Namapun berkempen, kalau berkempen takat buang air liur, munyit pun buli lari bah. SPRM Berpada2 lah bah kalau pun mau menjalankan tugas. Biar jadi yang di hormati bukan yang di benci.


Sunday, March 1, 2009

YB Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda UMNO?


YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang kini merupakan Ahli Parlimen Rembau, N. Sembilan mungkin masih muda dan mentah dalam politik. Muncul dalam arena politik arus perdana pada tahun 1999, iaitu ketika mula menjawat jawatan Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Beliau terus mendaki tangga hierarki politik dalam UMNO sehingga menjawat jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO dan pada pilihanraya umum yang lalu berjaya memenangi kerusi parlimen Rembau di N.Sembilan.

Pasti ramai yang memandang sinis terhadap beliau. Ialah, terlalu cepat naik. Cakap-cakap biasa yang kita dengari, biasalah kalau dah jadi anak menantu kepada Perdana Menteri. Hehehe… Anak menantu tu memanglah. Tapi kalau difikirkan, Orena sangat-sangatlah kagum dan terpegun dengan kredibiliti beliau. Kepetahannya berpidato sukar untuk ditandingi. Kalau ditanya siapakah individu di Malaysia ni yang boleh ditemukan dengan YB Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat satu lawan satu, sememangnya YB Khairy Jamaluddin lah orang yang paling layak sekali.

Secara peribadi aku amat mengkagumi pemimpin muda ini. Jujur Orena katakan di sini bahawa dulu pemimpin idolaku ialah YB Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kini tidak lain dan tidak bukan YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Ayuh… marilah kita semua ketepikan sebarang tanggapan yang kurang elok terhadap beliau. Kita fikirkan secara rasional. Beliau amat-amat berkemampuan untuk mengambil alih tugas yang bakal ditinggalkan oleh YB Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussien sebagai Ketua Pemuda UMNO. Insya’ Allah sekiranya YB Khairy Jamaluddin berjaya dalam pemilihan kelak, Pergerakan Pemuda UMNO akan kembali perkasa dalam menjadi tulang belakang perjuangan UMNO itu sendiri.

Aku bukanlah menidakkan kemampuan calon-calon lain yang semuanya bukan calang-calang pemimpin. Namun sekiranya aku diberi peluang untuk membuat pilihan, undi ku adalah kepada YB Khairy Jamaluddin.

Kini gelanggang telah dibuka. Mereka bertiga akan bertarung sebagai anak jantan. Kepada semua perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO seluruh Malaysia… buatlah pilihan yang tepat.

Kepada KJ, Orena ucapkan selamat berjuang yang lagi dua itu Orena kirim salam aja la…

Saturday, February 28, 2009

KJ - Pemuda Umno cabar Karpal kemuka bukti tempoh 24 jam

Pemuda Umno cabar Karpal kemuka bukti tempoh 24 jam untuk Pengerusi DAP Karpal Singh mengemukakan bukti yang mendakwa Pemuda Umno bertanggungjawab atas kiriman peluru terhadapnya baru-baru ini.

Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata tuduhan yang dilemparkan Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu merupakan satu tuduhan liar, gila serta berniat jahat.

"Karpal sepatutnya tidak bersembunyi dan berselindung di belakang kekebalan seorang Ahli Parlimen dengan membuat tuduhan yang tiada asas dan kebenaran. Jika beliau ada bukti bahawa peluru tersebut dihantar oleh Pemuda Umno, kami dengan ini mencabar Karpal untuk menunjukkan bukti dalam 24 jam.

"Sekiranya beliau gagal memberi sebarang bukti, rakyat Malaysia bolehlah menganggap dirinya seorang penipu yang sudah hilang segala kredibiliti dan kewarasan," katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen hari ini, lapor Bernama.

Semalam, ketika membahaskan usul menjunjung kasih bagi titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, wakil rakyat Bukit Gelugor itu mendakwa Pemuda Umno yang mengirimkan dua butir peluru yang ditemui dalam satu sampul surat di kediamannya di Pulau Pinang baru-baru ini.
Dalam sidang media itu, Khairy turut menyifatkan Karpal yang juga seorang peguam veteran sebagai seorang yang angkuh serta berlagak seolah-olah tahu segala undang-undang.

"Sebab itu Pemuda Umno hari ini mendesak kerajaan untuk bertindak cepat, manusia macam Karpal ini memang angkuh, memang ingat dia selalu betul dan dia tahu segala-galanya. Saya takut kalau kerajaan tidak ambil tindakan mengikut undang-undang kita tak dapat bendung kemarahan rakyat, kemarahan sebilangan besar daripada rakyat masyarakat Melayu terutamanya, dan seluruh ahli pergerakan Pemuda Umno Malaysia," tegasnya.

Ditanya adakah pemuda Umno ingin meminta Karpal memohon maaaf secara terbuka, Khairy menjelaskan bahawa Pemuda Umno tidak akan membuang masa untuk meminta permohonan maaf Karpal.

"Manusia seperti beliau tidak mengerti makna taubat dan pengakuan salah. Pemuda UMNO cuma mencabar beliau membawa bukti kukuh dan sekiranya beliau gagal, semua rakyat boleh menyimpulkan bahawa Karpal Singh adalah penipu yang ketandusan modal," katanya.

Mengulas mengenai tindakan Pemuda Umno yang membuat 100 laporan polis terhadap Karpal,Khairy berkata laporan tersebut mencerminkan perasaan majority rakyat, terutamanya masyarakat Melayu yang masih marah dengan ugutan Karpal untuk mengheret Sultan Perak Sultan Azlan Shah ke mahkamah.

"Sebagai seorang peguam terkenal, Karpal patut sedar bahawa tindakan Pemuda Umno ini mengikut undang-undang dan berlandaskan hak setiap rakyat Malaysia. Pemuda Umno juga mendesak pihak Peguam Negara untuk bertindak cepat atas syor-syor Polis Diraja Malaysia, berdasarkan segala laporan polis yang dibuat sebelum ini," katanya.

"Kami mahu mengingatkan Karpal bahawa bukan Pemuda Umno yang main-main. Sebenarnya Karpal yang main-main dengan sentimen rakyat dan bermain dengan api. Sekiranya beliau tidak bertaubat dan berhenti, kemarahan yang masih membara ini akan menjadi lebih dahsyat, "
Katanya, Pemuda Umno tidak akan berhenti untuk menentang Karpal, di mana sahaja demi kesejahteraan rakyat, prinsip Rukun Negara dan institusi raja berperlembagaan.

Sumber : Malaysiakini

My Blog List

About This Blog

  © Blogger template 'Penthouse' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP