Saturday, February 28, 2009

KJ - Pemuda Umno cabar Karpal kemuka bukti tempoh 24 jam

Pemuda Umno cabar Karpal kemuka bukti tempoh 24 jam untuk Pengerusi DAP Karpal Singh mengemukakan bukti yang mendakwa Pemuda Umno bertanggungjawab atas kiriman peluru terhadapnya baru-baru ini.

Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata tuduhan yang dilemparkan Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu merupakan satu tuduhan liar, gila serta berniat jahat.

"Karpal sepatutnya tidak bersembunyi dan berselindung di belakang kekebalan seorang Ahli Parlimen dengan membuat tuduhan yang tiada asas dan kebenaran. Jika beliau ada bukti bahawa peluru tersebut dihantar oleh Pemuda Umno, kami dengan ini mencabar Karpal untuk menunjukkan bukti dalam 24 jam.

"Sekiranya beliau gagal memberi sebarang bukti, rakyat Malaysia bolehlah menganggap dirinya seorang penipu yang sudah hilang segala kredibiliti dan kewarasan," katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen hari ini, lapor Bernama.

Semalam, ketika membahaskan usul menjunjung kasih bagi titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, wakil rakyat Bukit Gelugor itu mendakwa Pemuda Umno yang mengirimkan dua butir peluru yang ditemui dalam satu sampul surat di kediamannya di Pulau Pinang baru-baru ini.
Dalam sidang media itu, Khairy turut menyifatkan Karpal yang juga seorang peguam veteran sebagai seorang yang angkuh serta berlagak seolah-olah tahu segala undang-undang.

"Sebab itu Pemuda Umno hari ini mendesak kerajaan untuk bertindak cepat, manusia macam Karpal ini memang angkuh, memang ingat dia selalu betul dan dia tahu segala-galanya. Saya takut kalau kerajaan tidak ambil tindakan mengikut undang-undang kita tak dapat bendung kemarahan rakyat, kemarahan sebilangan besar daripada rakyat masyarakat Melayu terutamanya, dan seluruh ahli pergerakan Pemuda Umno Malaysia," tegasnya.

Ditanya adakah pemuda Umno ingin meminta Karpal memohon maaaf secara terbuka, Khairy menjelaskan bahawa Pemuda Umno tidak akan membuang masa untuk meminta permohonan maaf Karpal.

"Manusia seperti beliau tidak mengerti makna taubat dan pengakuan salah. Pemuda UMNO cuma mencabar beliau membawa bukti kukuh dan sekiranya beliau gagal, semua rakyat boleh menyimpulkan bahawa Karpal Singh adalah penipu yang ketandusan modal," katanya.

Mengulas mengenai tindakan Pemuda Umno yang membuat 100 laporan polis terhadap Karpal,Khairy berkata laporan tersebut mencerminkan perasaan majority rakyat, terutamanya masyarakat Melayu yang masih marah dengan ugutan Karpal untuk mengheret Sultan Perak Sultan Azlan Shah ke mahkamah.

"Sebagai seorang peguam terkenal, Karpal patut sedar bahawa tindakan Pemuda Umno ini mengikut undang-undang dan berlandaskan hak setiap rakyat Malaysia. Pemuda Umno juga mendesak pihak Peguam Negara untuk bertindak cepat atas syor-syor Polis Diraja Malaysia, berdasarkan segala laporan polis yang dibuat sebelum ini," katanya.

"Kami mahu mengingatkan Karpal bahawa bukan Pemuda Umno yang main-main. Sebenarnya Karpal yang main-main dengan sentimen rakyat dan bermain dengan api. Sekiranya beliau tidak bertaubat dan berhenti, kemarahan yang masih membara ini akan menjadi lebih dahsyat, "
Katanya, Pemuda Umno tidak akan berhenti untuk menentang Karpal, di mana sahaja demi kesejahteraan rakyat, prinsip Rukun Negara dan institusi raja berperlembagaan.

Sumber : Malaysiakini

0 comments:

My Blog List

About This Blog

  © Blogger template 'Penthouse' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP